Tuesday, November 10, 2009

KEPENTINGAN ILMU DALAM BERDAGANG


Berdagang mata wang memerlukan ilmu pengetahuan. Kenyataan ini ringkas dan cukup mudah difahami. Berdagang mata wang, atau lebih dikenali dengan dagangan Forex, tidak semata-mata bergantung kepada untung nasib. Sama saja seperti pekerjaan-pekerjaan lain yang diusahakan, forex memerlukan pedagangnya mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai selok belok urusniaga dan latar belakang dunia forex. Pendek kata, semakin banyak ilmu di dada dan pengalaman dalam bidang ini, maka semakin mudah serta kecil risiko urusniaganya dan maka semakin besar pula peluang untuk mengaut keuntungan.

Kenapa perlu ada ilmu? Di samping untuk mengelakkan diri daripada tercebur dalam sesuatu yang haram, iaitu mengharapkan keuntungan hanya dengan bergantung kepada nasib, ilmu yang dimiliki membolehkan pedagang berupaya membuat keputusan yang tepat. Kebolehan membuat keputusan yang tepat dan selamat adalah satu faktor penting dalam sebarang urusniaga, baik dalam jualan khidmat mahupun produk. Bagitu juga dalam dagangan forex, pedagang mesti mampu membuat keputusan berdasarkan pemerhatian dan penilaian. Tanpa ilmu yang mencukupi, keputusan yang dibuat tidak didasarkan kepada analisis dan penilaian dan ini menjadikan keputusan tersebut tidak tepat. Hasilnya, urusniaga yang dibuat boleh mengakibatkan kerugian kepada pedagang.

Pedagang juga perlu tahu sedikit sebanyak menggunakan teknik-teknik analisis teknikal dan fundamental yang digunakan dalam mengkaji dan menentukan corak pasaran. Analisis-analisis inilah yang digunakan untuk membantu membuat keputusan. Setiap satu belian atau jualan yang dibuat memerlukan pedagang membuat keputusan yang tepat dan adakalanya dalam masa yang singkat. Tentulah pedagang perlu tahu bila dan pada harga apa urusniaga belian/jualan boleh dibuat kerana keputusan yang salah akan mengakibatkan akaun pedagang menanggung kerugian. Jika pedagang tidak tahu langsung menggunakan sekurang-kurangnya salah satu analisis ini, atas dasar apakah keputusan untuk membeli dan menjual mata wang dibuat?

Di samping itu, ilmu dapat membina keyakinan diri dalam membuat keputusan. Pedagang yang kurang ilmu biasanya akan berasa resah atau runsing bila berhadapan dengan situasi –situasi berisiko. Mereka akan mula mempersoal tindakan dan keupayaan diri untuk menilai situasi. Akhirnya keputusan yang dibuat tidak tepat dan membawa kerugian.

Pengalaman pula membuahkan ilmu. Pengalaman menjadikan pedagang biasa dengan situasi yang dihadapi; dapat menangani masalah dengan tenang dan dapat mengurangkan risiko. Ilmu yang ditimba melalui pembacaan atau pengalaman adalah asas kejayaan seseorang pedagang forex. Pengalaman sahaja adalah tidak mencukupi. Pengajaran perlu diambil daripada pengalaman supaya kesilapan tidak diulang. Contohnya, jika dalam keadaan tidak bersedia anda telah membuka satu urusniaga yang merugikan, ambil pengajaran supaya perkara yang sama tidak diulang lagi. Dalam dagangan forex, kesilapan sebegini tidak mampu diulang kerana kerugian yang bakal ditanggung mungkin meninggalkan seluruh akaun licin tidak berbaki. Jadi, awas, kesilapan yang kecil jangan disangka tidak boleh membawa kesan yang besar, bilangan pip yang kecil boleh berganda menjadi jumlah yang besar jika anda tidak berhati-hati dalam membuat keputusan.

Tidak dapat dinafikan kepentingan ilmu dalam perdagangan forex. Untuk menjadi seorang pelabur dan pedagang yang bijak, bekallah diri dengan ilmu yang mencukupi. Latih diri menggunakan akaun demo yang disediakan oleh sesetengah broker. Bekalkan diri dengan ilmu di dada. Ingat, sebilangan besar pedagang forex gagal mencapai keuntungan. Hanya sebilangan kecil yang cukup berhati-hati dan bersedia mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu di dada dan disiplin diri yang tinggi dapat mengaut keuntungan dalam dunia forex yang amat lumayan ini.


No comments:

Post a Comment